Jumaat, 30 September 2011

PENGGUNAAN TEKNOLOGI PENGKOMPUTERAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


PENGENALAN

Dalam pendidikan formal, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) haruslah diberi penekanan yang sewajarnya. Proses yang disinonimkan dengan pengajaran dan pembelajaran bilik darjah melibatkan guru dan pelajar ini sememangnya memerlukan suatu usaha berterusan ke arah menyediakan pendidikan komprehensif dan efektif terhadap segala isi pelajaran yang disampaikan. Proses pengajaran juga dikenali sebagai pedagogi dalam istilah pendidikan, iaitu merujuk kepada kajian tentang kaedah dan prinsip pengajaran. Oleh itu, proses P&P perlu diberi ‘sentuhan’ yang dapat menarik minat para pelajar agar setiap isi pelajaran yang disampaikan memberi input maksimum terhadap kefahaman mereka.
Koh Boh Boon (1992) menyatakan bahawa proses pengajaran-pembelajaran di sekolah melibatkan dua pihak iaitu guru dan murid. Justeru, pengajaran yang ideal haruslah membawa kesan penuh ke atas pembelajaran yang berlaku. Keadaan di mana para pelajar tidak memberi tumpuan dalam peroses P&P adalah wujudnya pertentangan minat mereka disebabkan kebergantungan guru sepenuhnya terhadap kurikulum yang telah ditentukan untuk diajar kepada para pelajar diperingkat-peringkat tertentu sehingga usaha para guru tertumpu kepada menghabiskan sukatan pelajaran dan mengabaikan proses pengajaran yang sepatutnya (Atan Long, 1982).
Justeru, proses pengajaran memerlukan persediaan yang mantap oleh seorang pendidik sebelum terlibat secara langsung dalam proses P&P di sekolah. Menurut Zawawi Hj. Ahmad (1992) pengajaran seorang guru bukanlah semata-mata dengan hanya menyampaikan kandungan pelajaran yang dikuasainya itu kepada muridnya. Hal ini kerana, sekiranya seorang guru hanya berbuat demikian maka langkah tersebut belum lagi menjamin prestasi pengajaran yang tinggi. Dalam pada itu, konsep ‘pengajaran guru dan pembelajaran murid’ menurut beliau lagi merupakan konsep menggunakan pendekatan yang positif bagi menggerakkan motivasi dalaman murid disamping menyampaikan isi pelajaran yang dikuasai oleh seorang guru. Konsep ini juga sebagai suatu usaha bagi menimbulkan rasa perlu murid untuk mengikuti pelajaran dan mereka akan berasa rugi sekiranya tidak dapat mengikuti pelajaran yang disampaikan.
Sementara itu, Abd.Ghafar Md.Din (2003) mengemukakan proses pengajaran mempunyai ciri-ciri sains kerana ia melibatkan penyelidikan, pemerhatian dan mempunyai rumusan-rumusan sebagaimana bidang sains. Tambah beliau lagi, proses ini juga dianggap sebagai suatu seni kerana seorang guru perlu kreatif agar menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan. Kemahiran juga amat diperlukan dalam proses pengajaran selain penguasaan ilmu pengetahuan. Oleh itu, proses ini melibatkan latihan sempurna bagi menghasilkan pengajaran yang menarik sekaligus menambah keyakinan seseorang guru.
Justeru, beliau menyifatkan guru sebagai seorang seniman yang berfungsi sebagai seorang pelakon dengan menggunakan pergerakan badan, mimik muka dan tekanan suara yang sesuai bagi memenuhi kesempuranaan proses pengajaran yang dilaksanakan.
Sehubungan itu, fokus perlu diberikan sepenuhnya terhadap proses pengajaran serta faktor-faktor yang dapat mempertingkat dan memperkembang ke arah mewujudkan amalan pengajaran guru yang berkesan. Bagi tujuan tersebut kajian berhubung isu proses pengajaran perlu diperhalusi agar ia menjanjikan keberkesanan sistem pendidikan semasa melalui falsafahnya untuk melahirkan generasi seimbang yang cemerlang dalam akademik dan pembangunan insan.

KE ARAH PROSES PENGAJARAN BERKESAN

Arus perkembangan semasa menuntut kepada perubahan dari segenap aspek mahupun lapangan kehidupan umum. Perubahan positif merupakan anjakan yang perlu dihasilkan bagi mewujudkan kedinamikan untuk menghadapi cabaran-cabaran baru seiring perkembangan semasa. Justeru, pendidikan masakini perlu kepada pembaharuan bagi merealisasikan proses pembentukan dan pengembangan potensi diri yang patut disalurkan kepada para pelajar. Bagi tujuan tersebut penelitian terhadap aspek pengajaran khususnya dalam bilik darjah menjadi asas pencapaian kecemerlangan akademik buat para pelajar.
Dalam pendidikan formal, proses pengajaran menjadi elemen terpenting bagi mencapai keberkesanan isi pelajaran yang disampaikan. Proses pengajaran berkesan akan hanya dicapai menerusi pendekatan, kaedah dan teknik yang bersesuaian oleh seorang guru untuk mencapai objektif pengajarannya terhadap isi pelajaran yang disampaikan. Hal ini melibatkan kemahiran serta penguasaan penuh guru terhadap pelajaran yang disampaikan. Persediaan mantap berkaitan kemahiran dalam proses pengajaran oleh seorang guru membolehkannya menjalankan proses P&P dengan penuh keyakinan dan semangat tinggi. Dengan demikian, guru akan dapat memberikan sepenuh komitmen dan kesungguhan yang tinggi untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada para pelajar.
Sharifah Alwiah Alsagoff (1983) menyatakan bahawa pengajaran yang berkesan adalah merujuk kepada guru yang dapat membawa pelajar kepada hasil pembelajaran terakhir yang diinginkannya. Hal ini melibatkan corak pengajaran bersturktur dari segi organisasi bilik darjah serta mementingkan isi pelajaran. Selain itu, ia juga merujuk kepada perihal pengajaran guru yang lebih memusatkan kepada para pelajarnya sehingga mereka tertarik mengikuti aktiviti pembelajaran. Oleh itu, pembentukan proses pengajaran berkesan mempunyai nilai yang berbeza-beza namun ia masih bermatlamat untuk melihat hasil daripada isi pelajaran yang disampaikan.
Mewujudkan proses pengajaran yang berkesan memerlukan kepada komitmen guru sepenuhnya. Ia melibatkan perancangan dan strategi serta kemahiran guru yang padu dalam mengorganisasi proses P&P bilik darjah. Langkah awal dalam membentuk satu proses pengajaran yang berkesan adalah dengan menilai pertindanan domain kognitif, afektif dan psikomotor yang menjadi dasar objektif proses P&P. Guru seharusnya memerlukan segala persediaan yang rapi meliputi pengetahuan dan kemahiran penyampaian isi pelajaran agar membuka minda dan minat pelajar. Dengan itu, terbentuklah suasana pembelajaran yang melibatkan tindak balas positif dan tingkah laku aktif para pelajar.
Selain itu, interaksi sosial guru dan pelajar merupakan sebahagian daripada beberapa
faktor ke arah keberkesanan pengajaran. Hubungan dua hala (guru-pelajar) yang baik perlu
diwujudkan oleh setiap guru agar masalah berkaitan pelajar dapat diselesaikan seterusnya para pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap proses P&P. Adalah menjadi keutamaan dalam proses pengajaran untuk mengelakkan daripada berlakunya penyertaan pasif dikalangan pelajar disebabkan kurangnya perhatian dan fokus serta ketidakselesaan mereka semasa mengikuti proses P&P. justeru, guru berperanan memberikan motivasi agar para pelajar dapat mengikuti segala maklumat pengetahuan yang disampaikan sepenuhnya.
Penggunaan bahan-bahan pengajaran yang bersesuaian dengan kandungan pelajaran turut menyumbang kepada keberkesanan proses pengajaran. Menurut Atan Long (1982) bahawa sesuatu alat penyampaian terutama alat yang baru bagi pengalaman pelajar akan dapat menimbulkan minat dan seterusnya menggerakkan pelajar-pelajar untuk belajar. Sehubungan itu, penyediaan bahan pengajaran yang bertepatan dengan isi pelajaran akan membawa dimensi baru dalam pembelajaran para pelajar bagi meningkatkan lagi kefahaman mereka.
Seiring perkembangan semasa, proses pengajaran memerlukan satu usaha yang dapat menjana perkembangan proses pembelajaran pelajar. Kedinamikan proses pengajaran melalui daya kreativiti mahupun penggunaan teknologi masakini menjadi asas ke arah melahirkan amalan proses pengajaran berkesan. Seterusnya hal ini akan menjadikan proses P&P di sekolah dapat memberi sumbangan sepenuhnya kepada pencapaian kecemerlangan para pelajar serta memperkasakan lagi sistem pendidikan sedia ada.

PENGGUNAAN TEKNOLOGI KOMPUTER DALAM PENGAJARAN

Pendidikan masa kini berkembang seiring dengan kepesatan sains dan teknologi. Kelahiran bidang teknologi maklumat (ICT) melalui sistem pengkomputeran sebagai wadah baru era globalisasi telah mempertingkat usaha penyebaran ilmu kepada generasi baru dan masyarakat umum di seantero dunia. Melalui kepesatan dan perkembangan bidang pengkomputeran, aliran akademik semasa juga turut melebarkan lagi gerbang ilmiahnya menerusi capaian kepantasan kuasa teknologi ini . Khususnya dalam bidang pendidikan, penggunaan teknologi pengkomputeraan dalam proses pengajaran sememangnya memberi implikasi baru yang lebih efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sekaligus menyumbang kepada kelancaran dan kedinamikan dalam lapangan pendidikan.
Ledakan teknologi pengkomputeran dalam dunia pendidikan tidak dinafikan merupakan sebahagian daripada faktor yang turut menyumbang ke arah kemajuan dan prestasi di kalangan guru dan pelajar. Penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendidikan dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu sebagai alat pentadbiran, alat penyelidikan dan media pengajaran-pembelajaran (V. Pang, Y.K Yap dan Y.M. Tam, 1992). Jelas bahawa penggunaan komputer secara meluas telah memudahkan kerja-kerja mentadbir dan mengurus bahkan sebagai instrumen yang dapat membantu ke arah mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan.
Proses pengajaran dengan mengaplikasikan teknologi komputer seperti power point, internet, online, website dan sebagainya dapat membantu para guru untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran disamping dapat membantu mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran sekiranya ia dilaksanakan dengan teliti dan terancang . justeru, kebolehan guru dalam mengaplikasikan teknologi ini akan memberi nafas baru terhadap proses pembelajaran pelajar yang akan meningkatkan dan meluaskan pemerolehan ilmu pengetahauan dikalangan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan