Renungan Sejenak...

SESUCI KASIH.. SEINDAH AKHLAKMU..
" Orang-orang yang beriman, yang sedar akan hakikat dunia yang fana’, menunjukkan kasih sayang mereka antara satu sama lain dengan persediaan untuk akhirat. Sebanyak yang mereka ingin untuk mencapai keredaan, rahmat, dan Syurga Allah, mereka juga ingin orang yang di sayangi dan menyayangi mereka utk berkongsi nikmat dan keindahan yang sama."

CINTA IRADAH TUHAN 
“Cinta ialah iradah Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau ia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyiksa orang lain. Kalau ia datang pada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, ia akan membawa kerosakan. Tetapi jika ia hinggap di hati yang suci, ia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi.”

SENYUMLAH...
Rasulullah SAW sentiasa tersenyum manis dan ini sangat menyenangkan sesiapa yang melihatnya. Senyuman adalah sedekah, senyuman yang ikhlas memiliki daya sentuhan yang dalam ke lubuk hati sesiapapun, senyum adalah nikmat Allah yang besar bagi manusia yang mencintai kebaikan.

MENADAH CINTAH ILLAHI
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah apa saja yang Engkau anugerahkan kepadaku dari apa-apa yang aku cintai maka jadikanlah ia sebagai kekuatan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai…” ~Amin

Perjalanan kehidupan yang dilalui banyak mengajar erti cinta kepada kita. Hubungan cinta sesama insan yang meminta balasan biasanya akan berakhir dengan kebencian apabila balasan yang diharapkan itu tidak diperolehi. Suami isteri yang saling cinta menyintai akan berubah menjadi saling membenci jika ada penyelewengan daripada salah seorang yang curang. Begitu juga antara sahabat yang berkasih sayang, setiap kesalahan demi kesalahan dalam perhubungan mereka akan menjadi dendam yang mencalari hati masing-masing. Cinta anak kepada ibu bapanya sedikit sebanyak akan terhakis kerana komitmen yang harus diberi kepada isteri dan anak-anak. Tragedi demi tragedi yang menyimpan kepiluan di hati kerana kehilangan cinta membuat hamba yang beriman sedar bahawa cinta yang abadi hanya kepada Allah SWT. Dia tidak pernah sekalipun meninggalkan kita bersendirian, Dia sentiasa mendengar dan memerhati segala gerak bahkan lintasan hati manusia. Kerana cinta-Nya, kita hidup untuk menikmati keindahan dan kurnia kebahagiaan. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
”Sesungguhnya Allah SWT mempunyai seratus rahmat dan Dia menurunkan satu rahmat untuk jin, manusia, binatang dan serangga. Dengan satu rahmat itu semua makhluk saling menyayangi dan binatang buas mempunyai rasa kasih sayang terhadap anaknya. Adapun rahmat yang sembilan puluh sembilan lagi, Allah menyimpannya untuk diberikan pada hari kiamat sebagai wujudnya rasa sayang terhadap hamba-hamba-Nya. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Cinta kepada Allah bukan hanya menjanjikan kebahagiaan. Ia juga akan melahirkan peribadi yang memiliki kekuatan dan keberanian yang maha hebat dalam menghadapi ujian di dunia. Sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya:
”Apabila Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).
Sebagaimana Ibrahim AS yang meredah lautan api, Muhammad SAW pula hidup dikelilingi musuh yang mahu membunuhnya. Para sahabat baginda rela bertaruh nyawa demi cinta kepada Rabbul ’Alamin. Sejarah telah mencatatkan kata-kata sakti seorang sahabat Rasulullah SAW, Mush’ab bin Umair ketika dipaksa untuk meninggalkan agama Allah SWT oleh bondanya yang hendak membunuh diri untuk memaksanya murtad. Beliau berkata: ”Wahai ibu, jika ibu memiliki seratus nyawa sekalipun, dan nyawa itu keluar dari jasadmu satu persatu aku tetap beriman kepada Tuhanku.” Begitulah jika Al-Rahman telah mencurahkan cinta-Nya pada seorang insan. Mush’ab mengajar kita untuk meninggikan cinta kepada Allah pada darjat tertinggi melebihi dari yang lain. Ada tiga cara yang telah dilalui oleh orang-orang pilihan Allah untuk mendapatkan cinta-Nya yang abadi.
Menyucikan Hati.
Pandangan Allah SWT jatuh pada hati kita. Jika anda mahukan pandangan rahmat-Nya maka bersihkanlah hati. Rasulullah SAW bersabda:
”Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badanmu dan tidak pula kepada rupa parasmu, tetapi Dia memandang kepada hatimu dan amalanmu.”(Hadis riwayat Muslim)
Hati yang suci dari dosa dan maksiat berhak mendapatkan cinta Allah. Dari hati seperti inilah akan lahir amal perbuatan yang baik. Jika anda berasa malas beribadat atau ragu-ragu melakukan ajaran agama, itu adalah tanda hati anda tidak sihat. Dalam bermuamalah dengan manusia, elakkan menyimpan dendam dan dengki serta penyakit-penyakit hati yang lain. Kesimpulannya, hati yang suci dan sihat adalah hati yang selamat apabila berhubungan dengan Allah dan juga dengan sesama manusia. Firman Allah SWT:
”Akan ditimpa kehinaan kepada kamu manusia di mana saja kamu berada melainkan mereka menjaga hubungan dengan Allah dan menjaga hubungan dengan manusia. (Surah Ali Imran: Ayat 112).
Milikilah cinta Ilahi dengan berkasih sayang kepada sesama manusia. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis qudsi: Allah SWT berfirman:
”Sesungguhnya cinta-Ku adalah bagi orang-orang yang saling mencintai kerana mengharap keredaan-Ku.” (Hadis riwayat Imam Malik dalam al-Muwattha’ dengan sanad yang sahih)
Sentiasa dekat dengan-Nya.
Apabila cinta sudah jatuh di hati yang bersih, maka ingatlah kepada-Nya di mana saja anda berada. Tumpuan perhatian-Nya ada pada diri kita. Keagungan Allah SWT sentiasa menjadi lamunan dan sumber inspirasi. Nama-Nya melakar fantasi akal dan menghias keindahan pada mimpi dan realiti. Allah SWT hadir pada setiap gerak langkah, ibadah bertambah khusyuk dan perbuatan baik kepada sesama manusia semakin tulus. Apa saja yang dilakukan adalah demi keredaan-Nya. Janji-janji sentiasa disanggupi dengan keikhlasan, baik buruk keadaan semuanya dijalani dengan kerelaan kepada sang kekasih Rabbul ’Izzati.
Rasulullah SAW bersabda:
”Allah berfirman, Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku sentiasa bersamanya selama ia mengingati-Ku. Demi Allah. Allah lebih gembira menerima taubat hamba-Nya melebihi gembiranya seseorang di antara kalian yang menemukan kembali barangnya yang telah hilang di tengah padang pasir. Barangsiapa yang mendekat pada-Ku sejengkal, maka Aku mendekat kepada-Nya sehasta, barangsiapa yang mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa dan apabila ia datang kepada-ku berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ingatan dan pujian kepada Allah SWT belumlah cukup untuk menunjukkan kebenaran cinta kita. Ada satu syarat yang mesti dilakukan agar kita sentiasa berdamping dengan-Nya. Sepertimana sabda Rasulullah SAW; Allah SWT berfirman:
”Tidak ada yang paling Aku sukai daripada amalan hamba-Ku iaitu apabila ia mengerjakan apa yang telah Aku wajibkan kepadanya. Dan seseorang yang sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan sunnat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya maka Aku adalah pendengaran yang dengannya ia mendengar. Dan penglihatan yang dengannya ia melihat, Akulah tangannya yang dengannya ia meraih sesuatu dan Akulah kakinya yang dengannya ia berjalan. Apabila ia memohon kepada-Ku nescaya Aku mengkabulkannya dan jika ia berlindung kepada-Ku Aku pasti melindunginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Kedudukan seseorang di sisi Allah SWT bergantung dengan ibadat yang dilakukannya dengan ikhlas, semakin banyak ia beramal semakin kasih Allah SWT kepadanya. Jika kita bersedih kerana kurang merasai cinta Allah SWT dan semakin jauh dari rahmat-Nya mungkin kerana kualiti ibadat kita telah merosot oleh kesibukan dunia dan lalai yang berpanjangan. Perbaikilah diri dan kembalilah merapatkan diri kepada Allah SWT dengan ibadat wajib dan sunnat.
Setia Pada Janji
Cinta yang tidak pernah berubah hingga ke akhir hayat adalah cita-cita setiap pasangan yang berkasih. Setiap ujian mampu diharungi dengan sabar. Begitu juga pembuktian cinta kepada Allah SWT yang menagih pengorbanan hamba-hamba-Nya. ”Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah Penguasa alam semesta.” Janji ini menjadi penawar di hati seorang hamba, reda meredah setiap ujian kehidupan atas nama qadha dan qadar-Nya. Firman Allah SWT:
”Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu mencintai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)
Cinta kepada-Nya tidak pernah luntur dalam setiap keadaan, susah atau senang sentiasa setia dengan janji yang diikrarkan hingga kembali kepada-Nya. Hayatilah doa di bawah ini, semoga kita semua dikurniakan cinta yang sejati di dunia dan akhirat.
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah apa saja yang Engkau anugerahkan kepadaku dari apa-apa yang aku cintai maka jadikanlah ia sebagai kekuatan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa saja yang Engkau singkirkan dari apa-apa yang aku cintai maka jadikanlah ia keredhaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai. Ya Allah jadikanlah cinta-Mu sesuatu yang paling kucintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk di saat kehausan. Ya Allah jadikanlah aku mencintai-Mu, mencintai malaikat-malaikat-Mu, rasul-rasul-Mu dan hamba-hamba-Mu yang salih. Ya Allah hidupkanlah hatiku dengan cinta-Mu dan jadikanlah aku bagi-Mu seperti apa yang Engkau cintai. Ya Allah jadikanlah aku mencintai-Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredaan-Mu.” (Hadits Al-Tirmidzi dalam Jami’ al-Sahih, Rasulullah SAW bersabda: Inilah antara doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud AS)





IKHLAS.......

SIFAT ikhlas sangat penting untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian kerana orang yang ikhlas dianggap sempurna imannya. Ikhlas adalah sifat jujur yang dipraktikkan melalui perbuatan, percakapan dan amalan seharian.
Ikhlas datang daripada hati akan menjadikan sesuatu perbuatan dan amal itu diterima Allah.
Nabi SAW bersabda;
Siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya. (Riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis ini, sifat ikhlas penting dalam memberi dan menolak sesuatu yang haram serta membenci perbuatan tidak baik. Malah, tujuan berkahwin yang ikhlas kerana Allah sangat dituntut Islam kerana ia adalah cara menuju kesempurnaan iman. Begitulah tingginya kedudukan sifat ikhlas dalam hati Muslim. Sifat ikhlas dapat dididik kepada anak melalui pemberian, percakapan dan membenci sesuatu perkara yang dilarang Allah. Pendidikan ini mesti dilakukan secara berterusan.
Ikhlas sebenarnya wujud dari hati, bukan melalui percakapan. Ada sesetengah orang mengatakan, pemberian saya ini ikhlas. Belum tentu sifat ikhlas itu wujud seratus peratus kerana pemberian yang ikhlas adalah lebih baik dilakukan secara diam-diam dan tidak perlu ia dihebahkan kepada orang ramai.
Sukar untuk menentukan keikhlasan yang datang dari hati. Hanya seseorang yang beriman dan betul-betul ikhlas yang dapat mentafsirkan pemberiannya ikhlas atau ada maksud di sebaliknya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi Allah memandang pada hatimu. Barang siapa memiliki hati yang salih, maka Allah menyukainya. Bani Adam yang paling dicintai Allah ialah yang paling bertakwa. (Riwayat Ath-Thabrani dan Muslim)
Seseorang yang sentiasa mendidik hatinya untuk ikhlas melalui perbuatan, percakapan dan pemberian akan dapat menuju ke arah ketakwaan kepada Allah.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Siapa memurkakan Allah untuk meraih keredaan manusia, maka Allah murka kepadanya dan menjadikan orang yang meredainya menjadi murka kepadanya. Namun, siapa yang meredakan Allah (meskipun) dalam kemurkaan manusia maka Allah akan meredainya dan meredakan kepadanya, orang yang pernah memurkai-nya, sehingga Allah memperindah dirinya, memperindah ucapannya dan perbuatan dalam pandangan-Nya. (Riwayat Ath-Thabrani)
Sifat ikhlas wajar dididik dan dilatih sejak kecil lagi. Bimbingan pendidikan ini mesti dilakukan secara berterusan dalam pemberian, perlakuan dan perbuatan. Oleh itu, sifat ikhlas ini tidak perlu dipamerkan tetapi dipraktikkan.




bismi.gif
Untuk mereka yang mahu berfikir
Untuk mereka yang rindu kehidupan rohani yang suci
Untuk mereka yang haus pada kebeningan dan kebahagiaan hati
Untuk mereka yang sedang mencari iman yang jernih dan agama yang murni
Untuk siapa pun yang ingin membersihkan kalbunya dari cinta dan kesibukan duniawi
Untuk siapa pun yang hendak menyucikan jiwanya dari belenggu syahwat,
membersihkannya dari kotoran dosa dan maksiat,
serta menyerahkannya kepada Penciptanya dalam sebaknya taubat
Untuk setiap mukmin yang mencintai akhirat,
yang mempunyai perhatian terhadap syariat,
serta mengharap Tuhannya mengurniakan rahmat
Kupersembahkan untuk mereka karya ini
Cinta ini.
Genggam erat tanganku.
“Ya Allah… Segala puji bagi-Mu Tuhan Sekalian Alam. Perbaikilah segala urusan dan keadaan kami. Tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami mengikuti yang benar itu. Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar dan permudahkan kami meninggalkannya.
Ya Allah… Kurniakan kami taufik dan hidayah, keampunan, cinta dan keredhaan-Mu, keimanan dan ketakwaan yang tulus, ilmu yang bermanfaat, faedah dari umur, kesihatan tubuh dan keteguhan jiwa, kekuatan jasad dan akal fikiran, akhlak yang mulia, barakah dalam semua usaha dan ibadah, kebahagiaan dan ketenangan yang hakiki.
Ya Allah… Lindungi kami dengan perlindungan-Mu yang sempurna dari segala fitnah, hawa nafsu, kejahatan syaitan dan sekutu-sekutunya, musibah dan bala bencana.
Ya Allah… Berkati dan hiasi hidup kami dengan teman-teman yang jujur membimbing ke jalan yang lurus dan ikhlas memelihara iman kami, bukan sebaliknya. Anugerahkanlah kepada kami pasangan dan zuriat keturunan kami yang menyejukkan mata dan hati melihatnya, dan jadikanlah kami pemimpin ikutan bagi orang yang (mahu) bertaqwa.
Ya Allah, kurniakanlah kami husnul khatimah (pengakhiran yang terbaik). Selamatkanlah kami dari azab kubur dan seksa neraka-Mu. Izinkan kami bersama-sama penghulu kami Muhammad (SAW) dan orang-orang yang kami cintai serta masukkan kami ke dalam golongan hamba-Mu yang Engkau rahmati. Tautkan hati-hati kami dalam kasih sayang yang sejati.
Ya Allah, hanya kepada-Mu kami bertawakkal, hanya kepada-Mu kami menggantungkan segala harapan. Perkenankan doa kami ini wahai Yang Maha Penyayang. Semoga Allah melimpahkan salawat dan salam kepada junjungan Rasulullah (SAW), keluarga dan para sahabat baginda. Amin Ya Rabbal A’lamin”~
Untuk mereka yang setia bersama kesetiaanku, menerima diriku seadanya, dalam cantik dan hina, dalam tangis dan tawa, dalam derita dan bahagia – Aku mencintaimu setulusnya – dalam diamku, seteguhnya.