Selasa, 4 Oktober 2011

Teknik Penyoalan Guru

Tidak dapat dinafikan betapa pentingkan kemahiran guru dalam aspek penyoalan semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Dalam setiap borang penilaian pemerhatian bagi penyeliaan pengajaran dan pembelajaran semasa latihan perguruan atau borang penyeliaan oleh Jemaah Nazir Sekolah atau sesiapa sahaja dalam proses penilaian atau pemantauan pengajaran dan pembelajaran guru, pasti sahaja ada elemen ini dinilai. Betapa pentingnya seseorang guru itu menguasai teknik dan kemahiran menyoal adalah menentukan keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat amalan guru yang tidak memberikan perhatian kepada teknik menyoal, umpamanya guru menyoal dengan soalan yang tidak jelas, bersifat spontan, tidak menentukan tujuan, stereotaip dan hanya berkisar sekitar mencungkil ingatan serta memahami fakta sahaja. Soalan sedemikian tidak akan dapat mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran.
Apakah Penyoalan?
Penyoalan adalah apa jua pernyataan atau perlakuan yang memerlukan maklumbalas murid. Selain daripada berbentuk lisan, penyoalan juga boleh dilakukan melalui ekspresi muka, isyarat dan konteks fizikal.
SOALAN —-> MAKLUMBALAS —-> REAKSI SELEPAS MAKLUM BALAS
Penyoalan guru adalah merupakan salah satu bentuk interaksi yang berlaku dalam bilik darjah. Teknik penyoalan adalah merupakan salah satu alat untuk mencapai matlamat dan merangsang aktiviti mental. Beberapa kebaikan penyoalan adalah seperti berikut;
  • Merangsang pembelajaran
  • Mengembangkan potensi berfikir murid
  • Memandu kepada idea yang jelas
  • Menggerakkan imaginasi
  • Insentif kepada tindakan
Guru perlu menyedari bahawa kuantiti soalan dan kualiti penyoalan semasa mengendalikan sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah adalah merupakan salah satu unsur penting dalam menentukan keberkesanan dan kualiti sesi pengajaran mereka. Oleh itu, guru perlu merancang dengan teliti dan rapi dengan mengambil kira beberapa faktor seperti berikut;
  • Mental
  • Psikologi
  • Persekitaran
  • Pengalaman murid
  • Keperluan sesuatu mata pelajaran

Tiada ulasan:

Catat Ulasan