Selasa, 18 Oktober 2011

Fungsi blog dalam P&P


Blog bukan sahaja digunakan sebagai luahan perasaan, penceritaan tentang kehidupan tetapi penggunaan blog dalam era teknologi kini melampaui tahap tersebut kerana blog juga digunakan sebagai tempat untuk menyebarkan maklumat. Khasnya dari konteks pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru, malah pelajar juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat melalui blog. Kebiasaannya terdapat penulis blog yang lebih cenderung mengarang blog dengan membawa pelbagai maklumat-maklumat penting seperti isu semasa dan sebagainya.

Sebagai seorang guru, blog digunakan untuk membantu guru dalam memperbaiki P&P nya dari sudut mendapatkan bahan-bahan pengajaran. Pelbagai bahan boleh dimuat turun dari internet dan bahan-bahan tersebut boleh digunakan dalam sesi pengajaran. Antara bahan-bahan tersebut seperti video, set lengkap powerpoint sesuatu subjek, lagu dan banyak lagi. Bahan-bahan tersebut contohnya dapat digunakan di dalam set induksi, malah juga terdapat bahan yang boleh terus digunakan untuk mengajar seperti mana yang terdapat di dalam laman web UKM yang memuatkan bahan-bahan pengajaran dalam bentuk power point. Di dalamnya disertakan sesi pengajaran bermula dari set induksi hingga kesimpulan. Selain itu ia membantu pelajar untuk muat turun nota-nota dan soalan.

Selain itu juga ia memudahkan para guru dalam meneruskan P&P apabila pengaplikasian blog dalam sesi pengajaran. Sebagai contoh, nota-nota pengajaran ,soalan penilaian dan sebagainya boleh didapati oleh pelajar terus dari blog guru tersebut. Hal ini lebih menjimatkan masa dan bagi sesetengah pelajar merupakan persediaan awal untuk mereka belajar. Hal ini selaras dengan matlamat kementerian untuk menjana ict dalam pendidikan. Walaubagaimanapun perkara ini mungkin lebih sesuai digunakan oleh pelajar yang lebih mudah untuk mendapatkan sumber internet dan lebih mudah pada pelajar yang berada dibandar. Tetapi apabila dilihat secara positif, guru tersebut mestilah aktif dan sentiasa kehadapan dalam mencari maklumat baru dan nota-nota yang berguna. guru boleh mendapatkan pelbagai nota dengan memngambil dari blog-blog guru dan nota tersebut boleh diberikan kepada pelajar. Selain itu soalan-soalan lepas dan soalan-soalan ramalan dapat dikongsi bersama.

Jaringan maya ini boleh digunakan untuk perkongsian maklumat antara guru. Sekiranya guru menghadapi masalah yang berkaitan dengan murid, pengawalan kelas, pengajaran dan pembelajaran, penyediaan objektif pengajaran dan hal-hal lain yang berkaitan dengan sekolah boleh dikongsi melalui ruangan forum yang disediakan didalam blog. Melalui perkongsian ini sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah guru dan mengurangkan tekanan yang di hadapi oleh guru. Sebagai contoh perkongsian idea bagaimana membuat set induksi yang menarik.Selain itu, kerajaan melalui misi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) antaranya ialah mengurangkan jurang teknologi antara bandar dan luar Bandar. Dalam menyahut misi ini pembinaan blog secara tidak langsung membantu secara pantas dalam menyampaikan maklumat dari sekolah dari Bandar ke luar Bandar. Perkonsian idea dalam pengajaran dan pembelajaran dapat disebarkan dengan cepat

Khamis, 13 Oktober 2011

Memartabatkan Bahasa Melayu

BAHASA Melayu kini ditutur lebih 300 juta penduduk di seluruh dunia dan menjadi bahasa ibunda bagi masyarakat Kepulauan Melayu yang mewakili hampir separuh daripada Asia Tenggara.
Malah bahasa Melayu telah pun diajar di universiti-universiti antarabangsa seluruh dunia walaupun dengan sebutan yang lebih condong kepada sebutan bahasa Melayu Indonesia.
Namun, itu bukan merupakan suatu masalah bagi masyarakat di rantau ini untuk memahaminya walaupun dengan sebutan yang berbeza kerana ia masih mengekalkan akar umbi bahasa berkenaan iaitu bahasa Melayu Riau.
Walaupun sudah dikenali di pelosok dunia tetapi pada hakikatnya ke manakah hala tuju bahasa Melayu dalam meletakkannya sebagai bahasa antarabangsa.
Tokoh pendidik, Tan Sri Wira Abdul Rahman Arshad menyifatkan sudah tiba masanya bahasa Melayu mempunyai agenda dalam meletakkannya setaraf dengan bahasa Inggeris yang digunakan secara global.
Menurutnya, bahasa Melayu boleh pergi lebih jauh daripada apa yang ada sekarang dengan matlamat, ia harus dipermudahkan supaya mudah pula diterima oleh masyarakat dunia.
”Perkara pertama adalah dengan menyeragamkan sebutan ataupun lisannya berdasarkan susunan bunyinya,” katanya.
Sebagai contoh sebutan perkataan yang berakhir dengan ‘a’ yang mempunyai dua bunyi sama ada disebut ‘aa’ ataupun ‘ee’.
”Contohnya jika perkataan maka, ia disebut ma/ka (aa) ataupun ma/ke (ee), ini dua sebutan yang berbeza dan menyusahkan mereka yang ingin mempelajarinya,” katanya.
Beliau menegaskan, perkara tersebut tidak harus melibatkan sama ada ia sebutan baku atau tidak, yang penting memudahkannya untuk mereka yang baru mengenali bahasa Melayu.
”Kalau kita fikirkan tentang sebutan baku maka ia lebih menyusahkan kalau ia melibatkan bahasa asing contohnya seperti perkataan protein sama ada perlu disebut sebagai pro/tein ataupun sebutan bakunya, pro/te/in, yang sudah tentu ganjil bunyinya” katanya.
Selain itu katanya, apabila perkataan asing diambil dan digunakan dalam pertuturan bahasa Melayu maka adalah lebih baik sebutan dan bunyinya dikekalkan dalam bahasa asalnya.
”Ini kerana sebutan perkataan itu sudah dikenali oleh masyarakat antarabangsa dan digunakan secara meluas maka perlulah ia dikekalkan,” katanya.
Abdul Rahman berkata, pemodenan bahasa Melayu juga perlu diberi perhatian terutama yang melibatkan perkataan-perkataan luar.
”Sejak dahulu memang sukar untuk melihat bahasa Melayu yang mempunyai perkataan ‘x’ dan seringkali perkataan asing yang mempunyai huruf ‘x’ dan dipinjam ke dalam bahasa kita ditukar ejaannya,” katanya.
Sebagai contoh, perkataan complex ditukar ejaannya kepada ‘kompleks.
Katanya, sudah tiba masanya bahasa Melayu memperkenalkan huruf ‘x’ dengan melibatkan perubahan yang berperingkat-peringkat.
”Walaupun ia nampak janggal dan sukar dilaksanakan di dalam buku namun lama kelamaan ia akan menjadi biasa,” katanya.
Dalam memastikan matlamat bahasa Melayu sebagai bahasa global tercapai beliau menegaskan, ejaannya perlu disusun mengikut bunyi seperti yang pernah dilakukan pada masa dahulu. Beliau menekankan penggunaan tanda kepada huruf ‘e’ dengan mengembalikan penggunaan huruf ‘e’ taling (bertanda) dan ‘e’ pepet bagi melahirkan maksud yang berbeza pada ejaan yang sama.
”Di negara-negara lain seperti Eropah masih mengekalkan huruf yang bertanda untuk memastikan sebutan yang berbeza pada perkataan yang mempunyai sama ejaannya bagi memudahkan penuturnya, jadi mengapa kita tidak boleh berbuat demikian” katanya.
Beliau berkata, masalah sebutan perkataan warna ‘perang’ ataupun perasaan ‘berang’ masih ketara kepada masyarakat negara ini terutama kaum lain sehingga wujud kekeliruan.
”Kita tidak boleh salahkan mereka jika mereka menyebut Kuala Berang ataupun nama Megat dengan sebutan ‘e’ taling,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa gejala mencampuraduk bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris terutama dalam media elektronik sedikit sebanyak menggagalkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.
”Kadang-kadang apabila kita menonton drama Melayu berlaku perkara ini dengan menggunakan bahasa dan sebutan yang tidak betul,” katanya.
Bagi beliau, jika perkataan yang hendak disebut tiada dalam kamus bahasa Melayu maka ia tidak menimbulkan sebarang masalah.
”Namun jika sebaliknya, ini memperlihatkan kekosongan pengetahuan pada diri pelakon-pelakon terbabit sehingga menjadi bahasa Melayu itu sebagai ejekan kepada mereka,” tegasnya.
Justeru katanya, media massa berperanan penting dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa global kerana selain mempunyai pengaruh yang besar terhadap penontonnya ia adalah salah satu landasan untuk mendidik masyarakat bagi penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Selasa, 4 Oktober 2011

Teknik Penyoalan Guru

Tidak dapat dinafikan betapa pentingkan kemahiran guru dalam aspek penyoalan semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Dalam setiap borang penilaian pemerhatian bagi penyeliaan pengajaran dan pembelajaran semasa latihan perguruan atau borang penyeliaan oleh Jemaah Nazir Sekolah atau sesiapa sahaja dalam proses penilaian atau pemantauan pengajaran dan pembelajaran guru, pasti sahaja ada elemen ini dinilai. Betapa pentingnya seseorang guru itu menguasai teknik dan kemahiran menyoal adalah menentukan keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat amalan guru yang tidak memberikan perhatian kepada teknik menyoal, umpamanya guru menyoal dengan soalan yang tidak jelas, bersifat spontan, tidak menentukan tujuan, stereotaip dan hanya berkisar sekitar mencungkil ingatan serta memahami fakta sahaja. Soalan sedemikian tidak akan dapat mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran.
Apakah Penyoalan?
Penyoalan adalah apa jua pernyataan atau perlakuan yang memerlukan maklumbalas murid. Selain daripada berbentuk lisan, penyoalan juga boleh dilakukan melalui ekspresi muka, isyarat dan konteks fizikal.
SOALAN —-> MAKLUMBALAS —-> REAKSI SELEPAS MAKLUM BALAS
Penyoalan guru adalah merupakan salah satu bentuk interaksi yang berlaku dalam bilik darjah. Teknik penyoalan adalah merupakan salah satu alat untuk mencapai matlamat dan merangsang aktiviti mental. Beberapa kebaikan penyoalan adalah seperti berikut;
  • Merangsang pembelajaran
  • Mengembangkan potensi berfikir murid
  • Memandu kepada idea yang jelas
  • Menggerakkan imaginasi
  • Insentif kepada tindakan
Guru perlu menyedari bahawa kuantiti soalan dan kualiti penyoalan semasa mengendalikan sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah adalah merupakan salah satu unsur penting dalam menentukan keberkesanan dan kualiti sesi pengajaran mereka. Oleh itu, guru perlu merancang dengan teliti dan rapi dengan mengambil kira beberapa faktor seperti berikut;
  • Mental
  • Psikologi
  • Persekitaran
  • Pengalaman murid
  • Keperluan sesuatu mata pelajaran

Isnin, 3 Oktober 2011

Langkah-langkah Menulis Refleksi

Langkah - langkah menulis refleksi adalah seperti berikut : -

1. Fikirkan satu isu atau cabaran yang kritikal untuk direnungkan.
2. Mengapakah ia merupakan cabaran kepada diri anda ? Apakah punca cabaran itu ?
3. Nyatakan perasaan anda ( bisikan hati ) dan apakah falsafah anda terhadap isu ini ?
4. Nyatakan kesedaran baru daripada pengalaman tersebut.
5. Nyatakan cadangan dan tindakan susulan.